Selasa, 21 Mei 2013

FELDA KEMASUL


Kumpulan kami TFA batch 1 1979 tidak dapat lama di sekolah latihan Bukit Mendi disebabkan kumpulan kedua akan masuk termasuklah pelatih Field Asisstant daripada KESEDAR Kelantan. Kumpulan kami bersama dengan beberapa pelatrih daripada Sabah Land Development Board (SLDB) dibahagikan kepada  kumpulan untuk menjalani latihan praktikal di lima buah Rancangan.

Aku kumpulan D dan rancangan pertama yang dimasuki selama sebulan ialah di Felda Kemasul. Kata jurulatih kami akan belajar di sinim mengenai rancangan awal yang baru di tanam. Rancangan ini tidaklah sejauh mana daripada sekolah latihan kami, cuma jalan ke sana pada masa itu terlalu sukar (1979).

Rupanya rancangan Felda Kemasul sedang menerima kemasukan peneroka awal. Apa yang mencabar di sini aku lihat masa ini ialah anak-anak pokok sawit terlalu banyak di serang olah gajah. Dan itulah masalahnya kata pengurus pada masa itu en Ishak.

Kami mendapat tunjuk ajar daripada Pembantu Luar sedia ada termasuklah Bob Mustapha dan beberapa yang lain yang aku sudahpun lupa nama-nama mereka.

Kami ditempatkan di sebuah rumah kosong peneroka baru siap tetapi terpaksa memasak sendiri. Itulah pengalaman pertama hidup di rancangan , terpaksa memasang lilin waktu malam, mandi air parit kerana stand pipe mesih belum siap secara menyeluruh.

Masa ini telah ada rakan-rakan yang merungut tidak tahan, ingin pulang meninggalkan training dan ramai juga yang memohon kerja lain.

Makanan rutin kami masa ini ialah nasi berlaukkan ikan sardin, goreng tepung gandum campur bili dan sesekali makan nasi berlaukkan maggi. Latihan yang dijalankan pula ialah membuat lawatan ke ladang serangan gajah serta belajar mengenal pagar elektrik yang dibina khusus di tepi sempada hutan bagi menghalang kemasukan gajah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan