Isnin, 20 Mei 2013

KERJA TETAP

Tahun 1978 aku memikirkan masa depan yang serius. Ramai kawan-kawan yang telahpun mendapat pekerjaan tetap. Namun masa ini aku masih lagi sebagai tenaga pengajar (guru) di salah sebuah sekolah swasta di Kelantan. Rasanya kerjaya ini kurang mempunyai masa depan , maklumlah gaji guru hanya bergantung kepada yuran dari pelajar.

Lagi pun sistem pendidikan telah benar-benar berubah. Sebelum ini mana-mana pelajar lepasan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang tidak dapat menyambung pelajaran ke tingkatan 4 terpaksa mengulang dan mereka cenderong untuk memasuki sekolah swasta. Bagaimanapun perubahan berlaku apabila kesemua pelajar lepasan tingkatan 3 boleh memasuki tingkatan 4. Maknanya sekolah swsta akan gulung tikar.

Aku memohon pelbagai jenis pekerjaan termasuk pen pegawai kastam, pembantu perikanan malah pernah memohon jawatan pelayan pejabat ataupun juruteknik rendah JKR walaupun jawatan berkenaan agak lebih rendah dengan kelulusan yang aku ada.

Terbaca iklan jawatan kosong di FELDA sebagai Pembantu Luar (Field Asisstant), aku cuba juga memohon sehingga dipanggil temuduga di pejabat Felda Wilayah Terengganu. Aku berjaya dan memasuki latihan TFA (Trainee Field Asisstant) di Sekolah Latihan Felda Bukit Mendi Triang Pahang. Aku melapur diri di situ pada 27.7.1979.

Ketua Jurulatih masa itu ialah En Mansor Suib. Orangnya hebat, berkaca mata hitam dan gemar bermain gitar. Elaun TFA masa itu cuma RM130.00 sebulan bagaimanapun kami tidak mendapat kesemuanya kerana ditolak dengan yuran makan asrama separuh dari elaun.

Kumpulan kami seramai 60 orang tidak lama di situ kerana ada kumpulan baru yang akan masuk dan kami terpaksa di hantar untuk latihan di 5 buah rancangan iaitu Felda Jenderak Selatan untuk latihan kawasan getah, Felda Sungai Nerek kawasan getah matang, Felda Kemasul untuk kawasan baru kelapa sawit, Felda Chemomoi untuk kawasan tapak semaian dan Felda Sungai Kemahal bagi kawasan sistem blok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan